Cara Mudah Mengajar Kanak-Kanak Mempelajari bahasa Inggeris – Pujian vs Galakan

Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita perlu memberi pujian dengan betul dan berpada-pada. Mungkin anda tertanya-tanya, adakah pujian-pujian yang anda berikan kepada anak-anak dan pelajar-pelajar kita itu ada keburukannya? Ya, pujian ada keburukannya

jika tidak digunakan dengan betul. Memang pujian itu merupakan satu cara yang agak berkesan untuk meningkatkan harga diri seseorang tetapi terdapat satu lagi strategi yang lebih berkesan.

 

         Dr. Rudolph Dreikur, seorang pakar psikologi yang terkenal, pernah berkata, “…seorang kanak-kanak  itu memerlukan galakan seperti pokok perlukan matahari dan air”. Strategi ini lebih memberikan kesan berpanjangan kepada cara kanak-kanak itu melihat dirinya. Pujian dan galakan itu merupakan strategi yang positif, berkesan dan membawa manfaat jika digunakan.

 

Kedua-dua teknik ini boleh:

 

i.       Membina harga diri

ii.       Meningkatkan rasa bangga

iii.      Menggalakkan kerjasama

iv.     Membina perhubungan yang positif

v.      Membantu kanak-kanak semasa mereka

         menghadapi kesukaran dan masalah

 

         Bagaimanapun, jika anda kaji betul-betul, sebenarnya ada perbezaan yang ketara antara pujian dan galakan. Cuba anda lihat perbezaannya:

 

1.      Pujian ialah satu ganjaran yang perlu dimenangi:

         “Tahniah Haziq kerana berjaya dapat A dalam ujian semalam!

 

         Galakan pula ialah satu hadiah:

         ”Abah berasa bangga kerana Haziq betul-betul berusaha dengan gigih untuk   peperiksaan kali ini!

 

2.      Pujian menggunakan perkataan-perkataan yang menunjukkan kita

         menghakimi:

          “Awak dapat jawab semua soalan dengan betul. Tahniah!

 

         Galakan menggunakan pertuturan perkataan yang menunjukkan kita

         mengambil berat:

         Saya berasa gembira apabila awak mencuba untuk menjawab soalan saya    tadi.

 

3.      Pujian menggalakkan pertandingan:

         Tahniah Aiman! Aiman dapat nombor satu dalam kelas!

 

         Galakan menggalakkan kerjasama:

         ”Teruskan usaha Ain! Nampak makin bagus keputusan periksa Ain.

 

4.      Pujian menunjukkan penerimaan bersyarat:

         Emak sayangkan Odah apabila Odah dapat keputusan yang baik dalam

         peperiksaan.

 

         Galakan menunjukkan penerimaan tanpa syarat:

         “Emak sayangkan Odah apabila Odah berada di sisi emak.

 

5.      Pujian mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati orang dewasa:

         “Bagus betul Hafiz hari ini kerana tolong mak mengemas rumah. Mak rasa

         bangga dengan Hafiz.

 

         Galakan pula mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati mereka sendiri:

         “Abah perhatikan sekarang ini, Syakirin semakin rajin mengulang kaji pelajaran. Syakirin patut bangga dengan diri Syakirin.

 

6.      Pujian hanya boleh diberi apabila kanak-kanak itu berjaya:

         Tahniah, Zul kerana berjaya mendapat keputus-an cemerlang dalam

         peperiksaan.

 

         Galakan pula boleh digunakan apabila seseorang kanak-kanak itu sedang  menghadapi kegagalan atau kekecewaan:

         Tak apa, adik. Emak tahu adik dah berusaha keras untuk mendapatkan

         keputusan yang cemerlang dalam ujian Matematik itu. Teruskan usaha adik itu!

 

         Daripada penerangan-penerangan di atas, anda boleh lihat bahawa puji-pujian boleh mendatangkan ketagihan dan boleh menyebabkan kanak-kanak itu mencari motivasi yang berbentuk luaran. Sebaliknya, galakan akan kurang menyebabkan ketagihan dan lebih menggalakkan motivasi dalaman kanak-kanak itu. Secara amnya, pujian itu berkesan, tetapi galakan lebih berkesan!

 

         Topik ini dapat mendidik kita agar memberi pujian dan galakan bagi memotivasikan kanak-kanak untuk belajar dengan lebih gigih dalam memahirkan diri mereka dalam bahasa Inggeris. Selain dua strategi ini, ada satu strategi yang lain. Strategi ini juga sering disarankan oleh penulis perhubungan manusia yang tersohor, Dale Carnegie, dalam buku beliau “How to Win Friends and Influence People”. Lihat dalam cerita berikut bagaimana strategi ini digunakan dengan efektif:

 

         “Strategi ini saya pelajari daripada John William, yang merupakan Pengerusi di syarikat tempat saya bekerja dahulu. John merupakan seorang ahli korporat yang hebat dan amat berbakat. ‘Kemahiran manusia’ beliau amat menakjubkan dan beliau disayangi, dihormati dan disegani oleh semua orang yang me-ngenali beliau. Saya amat seronok memerhati dan mempelajari cara beliau berinteraksi dengan orang lain.

 

    Bila-bila sahaja setiausaha saya memberitahu bahawa John sedang di talian, saya akan berasa teruja. Saya amat seronok berbual dengan beliau. Suatu hari, saya cuba menganalisa sebab-sebab penggilan beliau cukup menyeronokkan saya. Selepas membuat analisa, saya mula memahaminya! John sering memuji saya, “Minit mesyuarat yang awak buat itu cukup hebat”. Beliau juga sering memberi galakan kepada saya, “Saya berasa gembira melihat awak hadir ke perlawanan persahabatan bola sepak syarikat kita semalam. Bagus kerana awak sudi meluangkan masa awak untuk datang memberikan sokongan”.

 

    Tetapi apa yang lebih penting ialah John sering menunjukkan minat beliau terhadap diri, keluarga, aktiviti-aktiviti dan juga kehidupan saya. Beliau sering menunjukkan minat kepada saya sebagai seorang insan dan bukan sekadar pekerja beliau. Apabila John menelefon saya, beliau sudah tentu ingin bertanyakan urusan syarikat tetapi beliau akan memulakan perbualan beliau dengan bertanyakan anak-anak, isteri atau aktiviti-aktiviti saya. Beliau menunjukkan minat terhadap diri saya dan saya amat menyukainya.

 

    Apabila saya menyedari akan kuasa minat ini, saya mula menggunakannya untuk membina dan mengekalkan perhubungan dengan kanak-kanak dan pekerja-pekerja saya. Saya masih ingat lagi pada suatu hari saya bertembung dengan seorang pekerja muda di pejabat dan kami mula berbual. Dengan mengambil iktibar daripada sikap John, saya tidak memberi pujian atau galakan kepada beliau. Sebaliknya, saya menunjukkan minat yang ikhlas terhadap diri beliau. “Saya nampak awak baru beli kereta ya, David. Cantik warna kereta awak tu. Di mana awak beli kereta tu?” Muka pekerja muda itu kelihatan teruja! Pengurus Besar syarikat beliau menyedari kereta baru beliau dan mengambil masa untuk memberitahu beliau! Perbualan yang ringkas itu lebih bermakna kepada beliau daripada sebarang pujian dan galakan.

 

    Pengajaran daripada cerita ini, anda sebagai ibu bapa dan pendidik boleh memberikan hadiah menakjubkan kepada kanak-kanak dengan menunjukkan minat yang ikhlas dengan kehidupan mereka. Sebagai contoh, jika anak anda pulang dengan hasil lukisan yang dilukis oleh mereka di sekolah, anda mungkin boleh meluahkan perasaan anda, “Wah! Menariknya lukisan adik ni. Adik baru belajar di sekolah ke?” ataupun jika di sekolah, anda boleh me-nunjukkan minat anda dengan seseorang pelajar dengan berkata, “Cikgu dapat tahu bapa awak seorang anggota polis. Awak tahu tak datuk saya dulu pun seorang anggota polis?” Cuba tunjukkan minat yang ikhlas dengan kehidupan dan aktiviti-aktiviti anak-anak dan pelajar-pelajar anda.

 

Dipetik dari buku terbaru saya, “Cara Mudah Memperkenalkan Bahasa Inggeris kepada Anak-Anak Anda” terbitan Perintis Books Sdn. Bhd.

 

Hubungi saya di cikgutuition@yahoo.com untuk sebarang pertanyaan.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s