Back to Basic marketing # 1 – What is marketing? / Apa itu Pemasaran?

Pengenalan

InsyaAllah saya akan memulakan satu lagi siri Back To Basic berkenaan dengan Marketing atau pemasaran pula. Walaupun saya merupakan graduan dalam Finance and Banking tetapi saya amat meminati subjek ini kerana ianya amat menarik buat saya terutamanya sekarang ini saya juga sekarang ini merupakan seorang usahawan dalam bidang pendidikan dan oleh itu aspek pemasaran juga amat penting untuk memastikan yang perniagaan yang saya jalankan ini akan lebih berjaya di masa hadapan.

Saya juga pernah terlibat secara lansung dalam bidang pemasaran terutamanya dari segi pemasaran perkhidmatan produk-produk bank dan institusi kewangan dan juga dalam memasarkan produk-produk IT yang turut melibatkan pemasaran di peringkat antarabangsa seperti di Saudi Arabia.

Mungkin ada yang akan mengatakan yang aspek pemasaran ini tidak penting atau tidak perlu dalam perniagaan kerana ada banyak juga usahawan atau perniagaan yang sudah berjaya tanpa ada pengetahun tentang pemasaran lansung atau tidak pernah belajar lansung tentang pemasaran atau marketing ini secara formal.

Memang saya akui ramai peniaga di luar sana yang berjaya tanpa apa-apa pengetahuan formal tentang marketing ini tetapi sebenarnya mereka samaada sedar atau tidak ada menggunakan teknik-teknik pemasaran yang ada dalam buku-buku teks tanpa mereka sedari. Ini kerana mereka telah mempelajarinya secara tidak formal melalui:-

1. Pemerhatian – Observation yang dibuat terhadap perniagaan yang sedia ada dan kemudian mengaplikasikannya kepada pernigaan mereka.

2. Pembacaan – Ada juga teknik-teknik pemasaran yang telah mereka perolehi melalui pembacaan dalam majalah-majalah, akhbar-kahbar dan juga buku-buku.

3. Pengalaman –Ramai juga peniaga yang memperolehi asas-asas pemasaran mereka memalui pengalaman mereka berkerja dengan orang lain atau melalui kaedah ‘trial and error’ dalam perjalanan perniagaan mereka.

Pada saya semuanya boleh membawa hasil, samaada pembelajaran secara formal atau tidak formal. Apa yang saya cuba usahakan dalam artikel saya ini dan dalam artikel-artikel saya yang akan datang ialah untuk mempercepatkan proses anda menguasi ilmu pemasaran ini dan berharap anda dapat melaksanakan teknik-teknik ini jika anda memang seorang peniaga atau anda ada niat untuk menceburi bidang perniagaan di masa akan datang.

Definisi Marketing

Terdapat banyak definisi yang telah diberikan oleh pakar-pakar pemasaran di seluruh dunia untuk dengan tepat mendefinisikan apakah itu pemasaran. Wikipedia mendefinisikan Marketing sebagai satu proses yang berterusan dalam perancangan dan juga perlaksanaan 4 unsur pemasaran iaitu:-

1. Product -Produk fizikal dan jugak perkhidmatan.
2. Price – Harga produk dan perkhidmatan anda.
3. Place – Lokasi di mana produk atau perkidmatan anda ditawarkan.
4. Promotion – Promosi yang dilakukan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan anda seperti melalui iklan akhbar.

Kebanyakan daripada kita selalu tersalah faham dengan menganggap yang marketing ini cuma melibatkan jualan dan iklan atau sales and advertising. Ini adalah salah satu silap faham yang biasa kerana kita sering terdedah kepada iklan-ilan tv, iklan-iklan di akhbar, iklan-iklan spam di email kita dan sebagainya. Sebenarnya jualan dan iklan cuma merupakan sebahagain kecil sahaja dari marketing kerana banyak lagi aspek-aspek penting dalam pemasaran yang anda perlu tahu untuk betul-betul menggunakan pemasaran dengan efektif dalam perniagaan anda.

Saya lebih suka dengan definisi marketing seperti yang telah dengan tepat didefinisikan oleh Philip Kotler dan Gary Armstrong di dalam buku Principles of Marketing (Prentice Hall, 2008). Mereka telah mendefinisikan marketing sebagai ”the process by which companies create value for customers and build strong customer relationships in order to capture value from customers in return”.

Dalam erti kata lain mereka telah mendefinisikan marketing sebagai “satu proses di mana sesuatu perniagaan itu menciptakan nilai untuk pelanggan-pelanggan mereka dan membina hubungan yang rapat dan kuta dengan pelanggan-pelanggan mereka untuk mendapatkan nilai daripada pelanggan-pelanggan mereka sebagai balasan”

Ini bermakna, marketing pada zaman yang serba moden ini perlu keluar dari kepompong ”tell and sell” atau ’beritahu dan jual” tetapi perlu mendakap konsep baru dalam marketing iaitu “memuskan kehendak pelanggan-pelanggan” . Ini kerana pelanggan-pelanggan sekarang adalah lebih canggih dan lebih berpengetahuan dan juga lebih demanding dalam memenuhi kehendak seharian mereka.

Sebagai seorang pemasar, anda perlu mengetahui kehendak pelanggan-pelanggan anda supaya anda mengeluarkan produk-produk atau menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan yang memberi nilai yang tinggi kepada pelanggan-pelanggan dan kemudiannya meletakkannya pada harga yang efektif, mengagihkan dan mempromosikannya juga dengan efektif, maka produk dan perkhidmatan anda akan terjual dengan lebih mudah.

Peter Drucker, seorang pakar pengurusan, juga ada menyebut “The aim of marketing is to make selling unnecessary”. Ini bermakna tujuan utama pemasaran ialah membuatnya dengan betul dan efektif dan akhirnya produk dan perkhidmatan anda akan terjual dengan sendiri tanpa perlu bersusah payah untuk menjula dan mempromosinya.

Adalah diharap dalam topic mukadimah ini, akan membuka mata anda untuk melihat pemasaran ini dalam perspektif yang berbeza.